Rais sahkan pemimpin UMNO ingin sertai Bersatu - Utusan Malaysia

Rais sahkan pemimpin UMNO ingin sertai Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU 17 Okt. – Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim hari ini mengesahkan ada dalam kalangan pemimpin dan wakil rakyat UMNO negeri ini telah menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan mengumumkan nama-nama mereka yang berkenaan pada masa ini bagi menghormati privasi masing-masing.

“Ada (yang akan sertai) tetapi tidak rasmi lagi, baru angkat telefon, baru merisik khabar, (jadi) saya tidak boleh umumkan (nama) mereka.

“Saya katakan pada mereka, saudara adalah orang yang tidak ada masalah, tidak ada kes, (jadi) saya akan mengesyorkan pada Bersatu Pusat untuk menerima mereka.

“Mereka yang jadi wakil rakyat dan nama-nama besar, saya mesti rujuk kepada Jawatankuasa Keahlian Bersatu tapi tidak menjadi masalah saya tengok (untuk terima mereka),” katanya kepada para pemberita selepas melancarkan Bersatu Bahagian Jelebu, di sini hari ini.

Menurut Rais, Bersatu akan memberi pertimbangan kepada ahli UMNO yang ingin menyertai parti itu sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu.

“Di Negeri Sembilan, kami sedia terima sekiranya mereka mempunyai akhlak dan latar belakang yang baik.

“Syarat lain ialah mereka tidak bankrap, tiada rekod jenayah dan tidak dilibatkan dalam sebarang skandal berkaitan kewibawaan parti,” ujarnya.

Beliau memberikan contoh bekas Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Yunus Rahmat yang telah menyertai Bersatu Bahagian Seremban. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN