Rahsia di The Lost Waterfall Ulu Salan - Utusan Malaysia

Rahsia di The Lost Waterfall Ulu Salan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENEROKAI lima kawasan air terjun dalam satu ekspedisi kedengaran begitu menyeronokkan tetapi tidak kurang juga meletihkan.

Namun, keletihan itu terubat sebaik melihat sendiri betapa nikmatnya dikelilingi alam semula jadi yang tidak terusik dengan kerakusan manusia.

Perjalanan penulis kali ini tercatat di daerah terbesar di semenanjung Malaysia, Jerantut, Pahang melalui satu ekspedisi tiga hari dua malam di kawasan hutan yang terletak berdekatan dengan Taman Negara Pahang.

Walaupun terletak hanya kira-kira 15 kilometer dari bandar Jerantut, hutan Ulu Salan menyimpan seribu satu khazanah yang tidak ternilai harganya.

Menjelajahi lima kawasan air terjun termasuk yang digelar sebagai The Lost Waterfall begitu mengujakan penulis kali ini.

Di dalam hati, tertanya-tanya juga kenapa diberi nama The Lost Waterfall.

“Tunggu sehingga sampai ke situ nanti,” ujar Pengurus Middle Earth 2.0, Muhammad Daniel Ismail apabila penulis bertanya mengenai nama air terjun itu.

Perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama hampir sejam dari bandar Jerantut melalui jalan-jalan offroad untuk sampai ke kem Ulu Salan mula menghangatkan mood penulis untuk menggunakan tenaga tracking nanti.

Laluan offroad yang sudah tersedia memudahkan perjalanan untuk sampai ke kawasan kem.

Ekspedisi The Lost Waterfall yang dianjurkan Middle Earth 2.0, sebuah syarikat pengendali pakej aktiviti lasak di Jerantut kali ini disertai kira-kira 40 orang yang terdiri daripada beberapa kumpulan aktiviti riadah.

Selain kumpulan pemandu pacuan empat roda yang membawa kenderaan Land Rover, Pajero dan Nissan Safari dari bengkel My LR Parts yang beribu pejabat di Batu Caves, Selangor, hampir 10 orang ahli Persatuan Bird Watch Taman Negara juga menyertai ekspedisi kali ini.

Ini kerana, kawasan hutan Ulu Salan dikenal pasti mempunyai berpuluh-puluh spesies burung yang ada antaranya sudah terancam.

Sampai ke kawasan kem ketika jam menunjukkan pukul 4 petang, kru Middle Earth 2.0 sudah menyediakan menu minum petang sementara penulis bersiap-siap untuk ‘mengunjungi’ kawasan air terjun pertama terletak setengah jam dari kawasan kem.

Tiga gugusan air terjun yang di gelar Lata Permaisuri diterokai petang itu dan boleh dikatakan laluan untuk ke lokasi adalah santai.

Keesokannya, kesemua peserta ekspedisi bersiap-siap untuk memulakan tracking selama tiga jam ke air terjun The Lost Waterfall Ulu Salan.

Perjalanan tracking disertai beberapa juru pandu arah Middle Earth 2.0 bermula pukul 9 pagi.

Walaupun mengambil masa tiga jam tetapi perjalanan itu tidak terasa penatnya kerana penulis benar-benar menikmati keindahan alam sekeliling.

Tambah teruja apabila kumpulan Bird Watch memaklumkan mereka terlihat spesies burung Malayan Peacock yang hanya boleh dilihat di semenanjung Malaysia dan dalam golongan spesis terancam.

Selepas tiga jam, ekspedisi mula tiba ke kawasan Lata Manik atau The Lost Waterfall. Barulah penulis sendiri faham mengapa ia digelar The Lost Waterfall.

Ini kerana air terjun setinggi 50 meter di situ jatuh ke dalam bumi lalu airnya menghilang ke dalam batu-batu dan tanah tanpa ada aliran sungai ataupun kolam di bawahnya.

Agak pelik namun itulah yang dilihat. Keunikan itu menjadi tarikan utama di hutan Ulu Salan yang memukau setiap pengunjung yang pernah tiba ke situ.

Destinasi terakhir, Lata Lebah mengakhiri perjalanan ekpedisi itu. Perjalanan pulang juga mengambil masa tiga jam.

Letih namun berbaloi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN