KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli hari ini diumum sebagai Ketua Cabang PKR Pandan yang baharu selepas menewaskan tiga pencabarnya pada pemilihan parti di Selangor.
Mohd. Rafizi yang juga bekas Ketua Cabang Kemaman memperoleh 566 undi, manakala tiga pencabarnya Haniza Mohd Talha memperoleh 405 undi, Nor Hayati Haron, 353 undi dan Mohamad Shauki Mohd Hashim, 71 undi.
Beliau berkata, kekalahannya kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR di cabang Pandan tidak menggambarkan pengaruh dan kekuatan pengaruh beliau di cabang berkenaan.
Pada pemilihan cabang Pandan, Mohd. Rafizi memperoleh 508 undi berbanding Mohamed Azmin 715 undi.
Mohd. Rafizi mendakwa perkara itu berlaku kerana pengundi dari cabang Ampang yang merupakan penyokong Mohamed Azmin telah dipindahkan ke cabang berkenaan. – Bernama










