KUALA LUMPUR 16 Okt. – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu menjelaskan mengenai pendedahannya wujud tawaran RM100 untuk satu undi dalam pemilihan parti tersebut.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Biro Politik parti akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pendedahan tersebut daripada Rafizi sendiri, malam ini.
“Kita tanya dia (Rafizi) secara terperinci dulu.
“Kita akan bincang malam ini. Kita ada (mesyuarat) Biro Politik malam ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Rafizi hari ini dilaporkan berkata, beliau percaya pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR akan terus sengit hingga ke akhir pemilihan parti itu pada 10 November ini.
“Ada laporan orang tawarkan RM100 untuk satu undi, saya sebut awal-awal kalau ada, tolak orang macam ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










