Rafizi dapat sokongan ahli daripada masyarakat Siam Perlis - Utusan Malaysia

Rafizi dapat sokongan ahli daripada masyarakat Siam Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 17 Okt. – Kira-kira 600 ahli PKR yang terdiri daripada masyarakat Siam di tiga cabang di negeri ini menyatakan sokongan penuh kepada Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Hal demikian dinyatakan oleh calon Naib Ketua PKR Cabang Arau, Boon Chu yang mewakili masyarakat tersebut bahawa mereka telah mengisytiharkan bakal menyokong Rafizi bagi mengisi jawatan nombor dua parti itu dalam pemilihan PKR bagi peringkat negeri ini, Ahad ini.

Boon Chu
Boon Chu 

Katanya, rata-rata mereka menyatakan bahawa Rafizi adalah calon paling layak untuk bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR seterusnya memperkasakan agenda reformasi.

“Kita yakin dengan kebolehan dan kemampuan Rafizi membawa parti ke arah lebih berjaya selepas ini. Hanya pemimpin jujur dan ikhlas selain tidak pentingkan diri layak bergandingan dengan Anwar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, calon PKR Cabang Arau, Asrul Nizan Abd. Jalil percaya, Rafizi akan kembali merapatkan jurang atau mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila lebih 6,000 ahli parti itu di Perlis dijangka memilih bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam pemilihan PKR negeri ini, pada minggu depan.

Untuk rekod, selepas selesai proses pengundian di enam buah negeri termasuk sembilan cabang di Selangor, Mohamed Azmin kembali mendahului Rafizi dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dengan kelebihan hanya 757 undi.

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Chu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau pemilihan parti itu di semua tiga cabang pada Ahad ini bagi mengelak masalah rasuah dan politik wang berlaku.

“Kalau boleh di setiap lokasi berlangsungnya pemilihan PKR, SPRM meletakkan seorang wakil bagi memantau keadaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN