SERAMAI 145,000 ahli PKR Sabah akan membuat pilihan sama ada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau pencabarnya, Rafizi Ramli dinobat sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada Sabtu dan Ahad depan.
Jika di atas kertas, sudah tentu Mohamed Azmin mempunyai kelebihan berbanding Rafizi kerana beliau memegang portfolio sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang sangat dekat dengan Sabah yang amat dahagakan peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Pusat.
Dalam kunjungan beliau ke Sabah sempena sambutan Hari Malaysia 2018 September lalu, Mohamed Azmin ‘membuktikan’ betapa beliau amat prihatin kepada rakyat Sabah dengan berjanji negeri ini terus mendapat bantuan pembangunan, malah projek Lebuh Raya Pan Borneo yang didakwa banyak masalah akan tetap diteruskan.
Adakah janji itu akan ditunaikan atau sekadar strategi politik untuk menarik sokongan tiada siapa yang tahu, namun jika dilihat kepada portfolio beliau dan pemimpin yang dikatakan satu kem dengannya seperti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, amat sukar untuk beliau dikalahkan.
Sementara itu, beberapa ramalan sebaliknya yakin Rafizi yang hanya ketinggalan sebanyak 1,418 undi di belakang Mohamed Azmin menjadi pilihan PKR Sabah ke jawatan nombor dua parti itu memandangkan kekerapan calon berkenaan datang ke Sabah selain beliau berada dalam kem bakal Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Salah satu bukti yang dapat dilihat ialah apabila Rafizi menang di Cabang Labuan yang dikatakan memberi gambaran jelas ke arah mana sokongan ahli PKR Sabah pada 3 dan 4 November ini.
Justeru, sebagai negeri penentu kepada keputusan itu nanti selain Sarawak yang turut mengundi pada hari sama, setiap ahli PKR Sabah perlu membuat pilihan yang bakal memberi kebaikan kepada negeri ini pada depan bukannya untuk kesenangan peribadi.
PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, malah Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, maka beliau memerlukan sokongan PKR Pusat untuk membangunkan negeri ini.
Biarlah keputusan terhasil nanti mencipta sejarah yang baik untuk negeri ini bukannya menambah kecelaruan kepada politik Sabah yang sehingga sekarang masih belum stabil sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Kepada setiap ahli, anda juga dinasihatkan supaya lebih berdisiplin semasa menunaikan tanggungjawab agar tiada insiden kekecohan berlaku seperti yang terjadi di beberapa negeri di Semenanjung.
Ketua Koordinator Pemilihan PKR Sabah, Rosli Masaliku sebelum ini berkata, lebih 300 petugas disediakan untuk memastikan kelancaran proses pemilihan di semua 25 cabang seluruh negeri.










