Seandainya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, keputusan itu dijangka memberi kelebihan kepada Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
Hal demikian adalah berlandaskan persepsi kononnya bekas Ahli Parlimen Pandan itu seolah-olah mendapat restu Anwar untuk mencabar penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pemerhati politik melihat, bagi mengelakkan berlakunya krisis dalam PKR, ahli parti pastinya mengambil langkah selamat dengan memastikan Anwar digandingkan dengan seorang Timbalan Presiden yang disenangi beliau dan individu yang dianggap sesuai ialah Rafizi.
“Berdasarkan persepsi, orang kepercayaan Anwar adalah Rafizi. Orang melihat kalau beliau percaya kepada Mohamed Azmin, sudah pasti tidak akan berlaku pertandingan,” menurut Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun Anwar pernah mencadangkan kepada Rafizi supaya tidak bertanding tetapi akhirnya akur dengan hasrat Naib Presiden PKR itu ntuk bertanding bagi menyuburkan amalan demokrasi.
Pemilihan seterusnya akan diadakan di Selangor pada Ahad ini, dan negeri itu merupakan kubu kuat Mohamed Azmin berdasarkan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR negeri dan bekas Menteri Besar Selangor.
Kem Rafizi kini dalam keadaan tertekan dan tidak boleh membiarkan Mohamed Azmin menang besar di Selangor, kerana negeri itu menguasai separuh daripada 800,000 ahli parti yang layak mengundi.











