Putra parti baharu Melayu - Utusan Malaysia

Putra parti baharu Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Okt. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang bakal menjadi parti politik baharu orang Melayu akan membuka keahliannya sebaik sahaja mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presiden Penaja Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya menjangkakan pendaftaran parti itu diluluskan ROS selewat-lewatnya pada hujung November ini.

Beliau berkata, pihaknya te­lah melepasi beberapa tapisan ditetapkan ROS antaranya barisan ahli jawatankuasanya bebas daripada status muflis Jabatan Insolvensi dan senarai hitam Cawangan Khas Bukit Aman.

“Cuma dalam sehari dua ini, kita bersama ROS akan meneliti semula beberapa klausa perlembagaan untuk memastikan pentadbiran parti ini berjalan lancar.

“Insya-Allah, jika tiada masalah pendaftaran dan selepas diluluskan, kita akan membuka keahlian kepada orang Melayu yang berminat menyertai parti ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim di sini hari ini.

Menurut Ibrahim lagi, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri dapat menyegerakan pendaftaran Putra seperti mana dilakukan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diluluskan dalam tempoh sebulan.

“Memandangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kini dilihat terbuka dan mendukung demokrasi, jadi kami berharap pendaftaran ini di­segerakan dan tidak berhadapan sebarang masalah.

“Ketika dahulu kerajaan Barisan Nasional (BN) pendaftaran Bersatu dalam tempoh sebulan, maka sudah tentu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kena cepat lagi,” katanya.

Pada masa sama, Ibrahim memaklumkan, Putra bakal menjadi parti orang Melayu selepas UMNO, Pas dan Bersatu.

“Walaupun Bersatu kini menjadi parti kerajaan yang dibentuk bagi membela orang Melayu dan Islam, hakikatnya perjuangan mereka terikat de­ngan manifesto PH yang bertentangan perlembagaan parti itu.

“Begitu jua dengan UMNO yang kini sudah hilang hala tuju dan sama juga Pas yang hanya dikenali di negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN