IPOH – Bunyi letupan yang menggemparkan orang ramai di bandar Ipoh dan kawasan sekitarnya sehingga boleh didengari di bandar lain termasuk Taiping yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Ipoh itu masih belum diketahui puncanya sehingga kini.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian tersebut.
“JMG segera melakukan siasatan selepas satu bunyi letupan yang didengari orang ramai kira-kira pada pukul 11.15 pagi itu tular di laman sosial.
“Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, kami mendapati ia bukan berpunca daripada letupan batu kuari kerana aktiviti tersebut hanya dilakukan antara pukul 12 tengah hari hingga 5 petang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dibuat bagi menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan letupan itu berpunca daripada aktiviti kuari di Simpang Pulai di sini.
Turut hadir, Presiden Dewan Perlombongan Bumiputra Perak, Datuk Musa Nordin.
Menurut Ahmad Zukni, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui lokasi sebenar bunyi letupan serta punca ia berlaku.
Katanya, sebarang aktiviti di 36 lokasi kuari di seluruh negeri Perak dilaksanakan dan dikawal mengikut Peraturan-Peraturan Kuari Perak 1992.
“Saya juga menolak kemungkinan ia berlaku dari lokasi kuari haram kerana aktiviti ini memerlukan bahan letupan untuk memecahkannya,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia menafikan kejadian letupan dan gegaran kuat yang berlaku di beberapa kawasan di bandar raya ini pagi semalam berpunca daripada kejadian gempa bumi. – K! ONLINE











