KUANTAN 3 Okt. -Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperuntukan sebanyak RM1.877 juta bagi tujuan pembayaran zakat perniagaan sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,000 diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang yang mana ia meningkat 50 peratus berbanding tahun lalu.
“Peningkatan jumlah zakat perniagaan itu adalah hasil kesungguhan usahawan yang kita biayai dan setakat ini, kita sudah membiayai seramai 623 usahawan dengan nilai pembiayaan kira-kira RM64 juta.
“Bagi pembiayaan (usahawan) seluruh negara pula, sehingga 28 September lalu, PUNB sudah mengagihkan pembiayaan berjumlah RM290.9 juta kepada 1,308 usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan PUNB Kepada PKZ di Bangunan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini hari ini.
Yang hadir menerima zakat perniagaan itu adalah Pengurus Besar PKZ negeri, Datuk Halidan Md. Daud. – UTUSAN ONLINE










