Projek atas tanah MRT2 diteruskan dengan kos RM17.42 bilion, projek bawah tanah tamat - Utusan Malaysia

Projek atas tanah MRT2 diteruskan dengan kos RM17.42 bilion, projek bawah tanah tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 7 Okt. – Kerajaan Persekutuan dan pelaksana projek (MMC-Gamuda) untuk MRT Laluan 2 (MRT2) bersetuju pembangunan atas tanah MRT2 akan diteruskan dengan jumlah kos baharu iaitu RM17.42 bilion berbanding RM22.64 bilion sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kerajaan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk pengurangan kos bagi kerja-kerja bawah tanah.

Sehubungan itu, Jemaah Menteri memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah ditamatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, bagi kerja-kerja bawah tanah yang masih belum disiapkan akan ditender semula melalui tender terbuka antarabangsa.

“Pada 3 Oktober lalu, Jemaah Menteri menerima tawaran daripada MMC-Gamuda melalui dua surat bertarikh 15 Ogos dan 7 September 2018 untuk melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2 sebagai ‘turnkey contractor’ dengan kos RM17.42 bilion.

“Ini merupakan satu penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus berbanding kos asal kerja atas tanah yang dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja yang masih mengekalkan kesemua stesen atas tanah,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Projek MRT2 telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 25 Februari 2014 dengan anggaran awal berjumlah RM28 bilion. Kos itu tidak termasuk fi (caj) perunding, fi pelaksana projek, faedah pinjaman dan kos operasi Mass Ra­pid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRTCo).

Namun kos keseluruhan MRT2 telah melambung naik kepada RM56.93 bilion akibat faktor seperti kelulusan skim landasan yang melibatkan jajaran baharu ke Bandar Malaysia dan perubahan skop.

Berikutan itu, Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengangkutan, MRTCo dan pihak swasta mengadakan rundingan untuk mengurangkan kos MRT2 pada Mei lalu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini