KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 pasangan bakal pengantin yang terdiri daripada pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperoleh pembiayaan majlis perkahwinan yang akan diadakan secara beramai-ramai menjelang akhir tahun ini oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, peluang tersebut terbuka kepada mana-mana pegawai atau anggota yang belum pernah berkahwin atau merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.
“Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat) menawarkan pembiayaan tersebut kepada saya dan saya menerimanya dengan hati yang terbuka di mana pihak Bank Muamalat yang akan membiayai majlis perkahwinan tersebut.
“Saya menganggarkan seramai 50 pasangan akan melangsungkan perkahwinan menerusi pembiayaan ini. Pemberitahuan mengenai perkara itu juga sudah dihebahkan kepada pegawai dan anggota PDRM untuk mencari pasangan bakal pengantin yang mahu ikut serta,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pengaman dan Bank Muamalat, di Hotel Istana, di sini, hari ini. – K! ONLINE










