PORT DICKSON 3 Okt. – Pas menyuarakan kebimbangan bahawa pengundi di kawasan Parlimen ini mungkin terpaksa berdepan pilihan raya kecil yang kedua sekiranya mahkamah memutuskan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan bertanding sebagai Ahli Parlimen.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Anwar yang juga Presiden PKR tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Menurut beliau, pada 16 Mei lalu, Anwar hanya dikurniakan pengampunan penuh di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang merujuk kepada ‘dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta’.
“Untuk mengelakkan kerajaan terpaksa membazirkan wang untuk mengadakan pilihan raya sekali lagi, kami harap pengundi tidak memilih Anwar,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Induk Pas bagi PRK Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali; Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas, N. Balasubramaniam; Pesuruhjaya Pas negeri, Mustaffa Daharun dan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.
Jumaat lalu, seorang pengundi berdaftar di Port Dickson, Noraziah Mohd. Shariff, 38, mengemukakan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.
Selain itu, pencadang bagi calon Pas, telah mengemukakan surat bantahan terhadap pencalonan Anwar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon, Sabtu lalu. – UTUSAN ONLINE










