JOHOR BAHRU 30 Sept. – Kerajaan negeri akan mengenal pasti pelbagai produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk dieksport, khususnya bagi pasaran Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali yakin produk PKS negeri ini boleh mendapat tempat di negara jiran tersebut.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha PKS tempatan dalam mengembangkan perniagaan mereka termasuk dalam dunia digital dan pasaran antarabangsa.
“Terdapat kira-kira 70,000 PKS berdaftar di negeri ini dan kerajaan negeri mahu membawa produk berpotensi ke pasaran antarabangsa, iaitu dari desa ke mata dunia dan Indonesia merupakan antara pasaran berkenaan.
“Antara produk tempatan yang berpotensi tinggi untuk dieksport ke Indonesia termasuk fesyen, makanan dan minuman serta produk organik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Sesi Padanan Perniagaan Antara Gabungan Pengimport Indonesia dan PKS Tempatan, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Konsul Jeneral Republik Indonesia ke Johor Bahru, Haris Nugroho dan Ketua Bidang Perdagangan dan Industri Persatuan Pengimport Indonesia, Ratna Nila Juwita.
Sementara itu, Ratna Nila mengakui terdapat permintaan terhadap produk PKS keluaran negara ini dalam pasaran republik tersebut dengan setakat ini sebanyak 19 jenis berjaya memasuki pasaran Indonesia, antaranya produk makanan dan minuman.
“Kerana dua negara ini serumpun dan memiliki cita rasa yang hampir sama, maka produk Malaysia mudah diterima masyarakat Indonesia,” katanya.
Program tersebut disertai 50 usahawan tempatan yang menceburi sektor makanan, bahan pencuci dan pakaian.










