Pos Malaysia lancar Siri Setem Sultan Kedah ke-29 - Utusan Malaysia

Pos Malaysia lancar Siri Setem Sultan Kedah ke-29

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan tiga reka bentuk siri setem yang menampilkan imej Sultan Kedah yang ke-29, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Imej Sultan Kedah yang berpakaian mengikut tiga kategori iaitu Sikap, Tentera dan Kebangsaan boleh dibeli oleh orang ramai dan pengumpul setem mulai 22 Oktober ini pada harga 60 sen sekeping.


Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah berkata, rakyat negeri Kedah boleh membeli siri setem khas ini pada 23 Oktober.


“Selain daripada tiga reka bentuk siri setem khas, Pos Malaysia turut mengeluarkan sampul surat edisi khas yang memaparkan imej Sultan Kedah.


“Sampul surat ini hanya boleh dibeli pada Isnin depan sempena Pertabalan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin, sementara stok masih ada,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.


Beliau berkata, pengeluaran siri setem ini adalah sebagai tanda penghormatan khas kepada Sultan Sallehuddin di atas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kedah yang ke-29.


Diyana Lean menambah, keistimewaan siri setem yang dikeluarkan ini dicetak dengan ciri-ciri khas seperti teknik cetakan metalik emas yang terdapat pada setem bersaiz besar iaitu Lembaran Mini.


“Setem Lembaran Mini ini juga memaparkan imej sultan dan sultanah dengan berpakaian Songket Kuning yang berlatar belakangkan Singgahsana Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah.


“Dengan cetakan metalik emas ini, kita percaya pengumpul setem atau setem collectors akan tertarik untuk mendapatkannya sebagai tambahan koleksi sedia ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN