KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem khas sempena memperingati hari pemasyhuran Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badhlishah sebagai Sultan Kedah ke-29.
Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah berkata, siri setem istimewa itu akan mula dijual bermula 22 Oktober ini.
“Keluaran setem ini adalah sebagai tanda penghormatan khas kepada Sultan Sallehuddin di atas pemasyhuran baginda sebagai pemerintah baharu negeri Kedah,” katanya kepada media ketika sesi memperkenalkan siri setem itu di sini, hari ini.
Diyana Lean berkata, tiga reka bentuk setem akan dikeluarkan pada siri itu dengan menampilkan imej Sultan Sallehuddin mengenakan pakaian sikap, pakaian tentera dan pakaian kebangsaan berwarna ungu dengan setiap setem bernilai 60 sen.
“Keluaran setem siri ini hanya dicetak sebanyak 230,000 keping bagi setiap reka bentuk. Lebih menarik, di tepi setiap set lembaran yang mempunyai 20 keping setem itu mempunyai cetakan gambar alat-alat kebesaran yang dimiliki oleh baginda,” katanya. – Bernama










