KUALA TERENGGANU 18 Okt. – Kejadian runtuhan pelantar minyak sebagaimana video yang tular dalam laman sosial sejak semalam bukan berlaku di negeri ini mahu pun di Malaysia sebaliknya di Teluk Parsi.
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, semakan dijalankan pihaknya mendapati nahas pada awal tahun 2013 itu membabitkan sebuah syarikat minyak Iran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa selamat.
Menurut beliau, kejadian berkenaan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah lebih USD40 juta.
“Sejak semalam terkesan satu video yang tular bertajuk ‘offshore runtuh baru buat’ dipercayai berlaku di luar pantai Terengganu.
“Polis Kontinjen Terengganu telah membuat semakan terhadap dakwaan ini dan mendapati video sama pernah tular beberapa kali melalui aplikasi YouTube sejak tiga tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Video berdurasi kira-kira 37 saat memaparkan saat cemas sebuah pelantar minyak runtuh semasa pekerja masih berada di atasnya menimbulkan tanda tanya sama ada kejadian itu benar berlaku atau sebaliknya.
Sehubungan itu, Aidi menasihatkan orang ramai untuk mengesahkan kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu sebelum berkongsi berita tersebut dengan pengguna media sosial. – UTUSAN ONLINE











