Polis tahan lelaki pandu lori melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan - Utusan Malaysia

Polis tahan lelaki pandu lori melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak memandu lori secara melawan arus di Kilometer 432 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Tol Sg Buaya di sini hari ini.

Kejadian pukul 9.15 pagi itu turut mengakibatkan berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah lori lain selepas pemandu lori tersebut gagal mengelak lori yang datang secara melawan arus di laluanya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan itu berlaku apabila lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 37 tahun memandu di lorong tengah dengan melawan arus.

Katanya, sebuah lori dipandu lelaki berusia 48 tahun dari arah Ipoh menghala Kuala Lumpur berada di lorong tengah tidak sempat mengelak lori berkenaan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.

Bagaimanapun, kedua-dua pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang juga pemandu lori bekalan ubat itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Selain itu, suspek juga mempunyai 64 saman termasuk 36 waran tangkap selain mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang sudah dijatuhi hukuman,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya lagi, suspek juga dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mengambil darah bagi tujuan pemeriksaan alkohol.
 
“Pihak polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Terdahulu, satu rakaman video berhubung kejadian berdurasi satu minit 25 saat yang menunjukkan kemalangan membabitkan dua lori tular di laman sosial. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×