KEPALA BATAS 13 Okt. – Polis menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Lahar Minyak dekat sini awal pagi dalam Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Dalam operasi pada pukul 4 pagi itu, polis menemukan lima paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah heroin dengan anggaran berat 172 gram (g), dua paket plastik berisi syabu (1.8g), dua paket berisi tumbuhan kering disyaki ganja (3g) dan satu paket lutsinar berisi 180 biji disyaki pil WY (20g).
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dadah itu dipercayai untuk jualan kepada penagih di sekitar Kepala Batas dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM10,000.
“Ujian air kencing ke atas kesemua suspek yang berumur 31 hingga 45 tahun mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis akan sentiasa menjalankan operasi narkotik di daerah itu secara agersif bagi mengensan pengedar-pengedar dadah dan beliau mengharapkan kerjasama masyarakat bagi membantu membanteras aktiviti penyalah gunaan dadah ini.- UTUSAN ONLINE











