ALOR SETAR – Polis berjaya menyelesaikan lapan kes samun melibatkan kerugian kira-kira RM30,000 yang berlaku di sekitar bandar raya ini selepas menahan enam individu sepanjang bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, pihaknya melancarkan satu operasi khusus bagi membanteras kumpulan samun selepas kes-kes jenayah tersebut menunjukkan sedikit peningkatan.
“Hasil daripada operasi berkenaan, kita telah berjaya menyelesaikan lapan daripada 10 kes samun yang berlaku pada bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini hari ini.
Kata beliau, tangkapan melibatkan suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan berusia antara 23 hingga 41 tahun.
Menurut Mohd. Rozi, kejadian samun antaranya berlaku di sekitar bandar raya ini, Simpang Kuala dan Jalan Pegawai di sini.
“Kes-kes ini termasuklah ragut serta samun kedai runcit dan warga emas di kawasan hadapan rumah mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya bertindak merampas pelbagai barang termasuk telefon bimbit dan resit belian emas terpakai. – K! ONLINE










