KANGAR 19 Okt. – Polis berjaya merungkai misteri kes mati lemas yang membabitkan tiga sekeluarga di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat dekat Arau, semalam, dalam tempoh kurang 24 jam.
Kes tersebut dirungkai ekoran kepantasan pihak polis menahan seorang lelaki yang merupakan ahli keluarga kepada ketiga-tiga mangsa di Sungai Petani, Kedah, semalam, yang sebelum itu dikatakan turut mati lemas.
Sehingga kini, berdasarkan hasil rakaman percakapan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu, dia dikatakan cuba membunuh diri bersama ahli-ahli keluarganya tersebut.
Menurut Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd., kesemua mereka meminum racun sebelum terjun ke dalam sungai di kawasan kejadian pada pukul 2.45 pagi.
Katanya, lelaki berkenaan walau bagaimanapun membatalkan hasratnya dan berenang semula ke tebing sebelum ke Sungai Petani, lokasi dia diberkas polis kira-kira pukul 10 malam.
“Kesemua ahli keluarga itu yang datang ke kawasan berkenaan dengan menaiki kereta api dari Sungai Petani, memilih lokasi tersebut kerana merupakan kampung kelahiran kepada ibunya yang berusia 64 tahun.
“Motif membunuh diri adalah disebabkan ekoran tekanan perasaan akibat masalah hutang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, polis hari ini mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini terhadap seorang lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes lemas tersebut.
Lelaki terbabit dilihat hadir di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira pukul 10 pagi sambil diiringi dua pegawai polis dalam keadaan berpakaian lokap dan bergari.
Perintah tahanan reman itu diperoleh daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.
Dia disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana menyembunyikan kematian.
Semalam, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.
Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.
Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.
Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat.
Berikutan itu, pasukan penyelamat mempergiatkan usaha mencari Mohd. Zali yang dikatakan bersama keluarganya itu berdasarkan kepada penemuan kad pengenalan kesemua empat individu itu di lokasi mayat pertama ditemukan.
Walau bagaimanapun kejadian itu menimbulkan misteri apabila lelaki yang disangka mati lemas bersama-sama ahli keluarganya, dijumpai masih hidup di Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 10 malam. – UTUSAN ONLINE









