KUALA LUMPUR – Tiada unsur sabotaj dalam kemalangan van polis di Lebuh Raya Plus, dekat Bukit Beruntung yang menyebabkan kematian lelaki warga Perancis, yang disyaki terlibat ideologi Salafi Jihadi, di Hospital Sungai Buloh pada Jumaat lalu.
Kemalangan itu telah menyebabkan seorang lelaki warga Perancis, Mickael Alain Louvier meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh pada Ahad lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, kejadian yang menimpa seorang daripada lapan suspek yang ditahan di Perlis kerana disyaki terlibat dalam fahaman Salafi Jihadi itu hanya kemalangan biasa.
“Kejadian itu tiada unsur sabotaj. Kenderaan tersebut terbabas kerana tayar bahagian kanan van meletup sebelum melanggar pembahagi jalan.
“Dalam kejadian itu bukan sahaja suspek, malah anggota kita turut terpelanting keluar daripada kenderaan. Bagaimanapun, suspek gagal diselamatkan,” katanya pada sidang akhbar ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Fuzi lagi, van tersebut dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur daripada Perlis selepas membawa suspek ke sana untuk mendapatkan bahan bukti.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Mualamat dengan Yayasan Pengaman.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Hussin Ismail.
Terdahulu media melaporkan, dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu, van dinaiki tujuh anggota polis bersama empat tahanan itu terbabas dipercayai akibat jalan licin di lokasi.
Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan. – K! ONLINE










