KUALA LUMPUR 15 Okt.- Polis melakukan satu operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki dikhuatiri terjatuh dari jambatan di Lebuh Raya Baharu Lembah Klang (NKVE) arah selatan berhampiran Plaza Tol Subang dekat sini, kelmarin.
Operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan bersama sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki mengenai kehilangan adiknya dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta dan tiga lori pada 12 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, lelaki itu memaklumkan terdapat saksi melihat motosikal adiknya yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Ujarnya, lelaki terbabit mengesyaki adiknya turut terlibat menjadi mangsa kemalangan terbabit ketika membantu menyelamatkan mangsa perlanggaran lori yang pertama.
“Berikutan itu, adiknya itu dikhuatiri terjatuh dari jambatan ke dalam sungai berdekatan kawasan kemalangan tersebut. Malah, dia turut menemukan beg pinggang milik adiknya di jambatan berkenaan.
“Bagaimanapun, usaha mencari mangsa dijalankan semalam bersama bantuan pihak bomba dan unit anjing pengesan (K9), namun tidak menemukan sebarang petunjuk di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, dua maut, manakala empat lagi termasuk seorang bayi tujuh bulan parah apabila kereta Honda dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan tiga buah lori di Kilometer 14.5, lebuh raya NKVE arah selatan berhampiran Plaza Tol Subang pada 12 Oktober lalu.
Selain mereka, lima lagi mangsa yang cedera terdiri daripada tiga pemandu lori dan dua kelindan. – UTUSAN ONLINE










