KUALA LUMPUR 2 Okt. – Dua lelaki cedera selepas kereta buggy yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di kelab golf TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara di sini hari ini.
Difaham, seorang daripada mangsa merupakan pemain golf bergelar datuk manakala seorang lagi adalah kedi yang mengiringinya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.29 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr. Ismail dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di sana, didapati sebatang pokok telah menghempap sebuah buggy dan terdapat seorang lelaki yang tersepit.
“Seorang mangsa berjaya keluar daripada buggy manakala seorang lagi yang tersepit dikeluarkan anggota bomba.
“Selepas itu kita melakukan kerja-kerja pengalihan pokok dan operasi tamat beberapa minit kemudian,” katanya.
Ujar jurucakap itu, dua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Tambahnya, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang. – UTUSAN ONLINE











