Deretan pasu berisi tanaman kubis yang sedang mekar disusun cantik bertingkat-tingkat pada beberapa sudut halaman rumah, memikat mata yang memandang.
Pemilik kediaman yang terletak di Taman Desa Telok Ira, Temerloh, Pahang itu, Nor Hayati Ismail nyata mempunyai idea sendiri apabila memutuskan untuk berkebun sayur.
Dia mahu tanaman itu bukan sekadar dapat memenuhi keperluan dapurnya, tetapi lebih penting mengindahkan lagi halaman rumah yang telah pun dihiasi dengan pelbagai jenis bunga berwarna-warni.
‘‘Sebenarnya, saya tercabar dengan kata-kata rakan-rakan dalam ‘geng kebun’ yang merasakan agak mustahil untuk menanam kubis dalam pasu lebih-lebih lagi di kawasan panas.
“Sebagai percubaan, saya tanam dalam dua pasu sahaja, tak sangka tumbuh dengan baik membuatkan saya bersemangat untuk tanam lebih banyak lagi.
“Selain kubis, saya juga tanam salad dan kubis bunga, di samping bunga seperti kekwa, vinca, mawar Jepun dan petunia.
“Namun, saya dapati kubis yang ditanam dalam pasu, apabila sudah mula membesar nampak cantik. Dari situ, timbul idea untuk menyusunnya di halaman rumah dan nampak unik,” katanya.
Berbangga dengan kreativitinya, Nor Hayati mengambil gambar jambangan kubis yang mekar cantik seolah-olah bunga mawar di halaman rumah, lalu dimuat naik ke akaun Facebook miliknya.
Mengejutkan, apabila gambar-gambar tersebut tular dan memperoleh jumlah perkongsian yang mencecah sehingga 2,000 daripada pelayar media sosial yang tertarik dengan keunikan hiasan tersebut.
Ramai yang mula bertanya lebih lanjut bagaimana dia mengendalikan tanaman kubis dan pelbagai variasi bunga sehingga menjadi hiasan yang begitu cantik.
‘‘Saya aktif berkongsi gambar tanam-tanaman saya di laman Facebook sejak beberapa tahun lalu. Bukan tujuan untuk menunjukkan, sebaliknya sebagai simpanan untuk saya imbau kembali pada kemudian hari. Ia adalah album kebun saya yang tidak boleh dipadam.
“Namun, baru-baru ini tanpa saya sedar gambar tanaman kubis saya menjadi tular dan mendapat perkongsian sehingga ke luar negara,” kata wanita berasal dari Maran, Pahang itu.
Sememangnya, masa terluang yang dimiliki oleh suri rumah ini telah membolehkannya berbudi kepada tanah dengan menggunakan kreativiti dan usaha sendiri.
Malah, dia tidak berharap pada suami atau anak-anak biarpun mereka sedia sahaja membantu jika diminta.
Mendedahkan rahsia yang menjadikan setiap tanamannya hidup subur, dia mengakui, penjagaan bagi semua jenis tanaman amat memerlukan kesabaran dan kasih sayang.
‘‘Jaga sayur dan bunga-bungaan ini sama seperti menjaga manusia. Kalau kita berikan perhatian dan kasih sayang yang cukup, tanaman akan tumbuh dan hidup subur.
“Namun, sekiranya kita bersikap terburu-buru untuk mendapatkan hasil dalam tempoh yang singkat, tanaman akan mengalami tekanan dan akhirnya tidak menjadi,’’ katanya.
Hayati berkata, bagi memastikan tanaman hidup subur, dia hanya menggunakan tanah organik yang tidak dicampur dengan mana-mana tanah lain yang diperoleh dari kedai bunga.
Selain itu, penggunaan baja yang bersesuaian dan cukup juga penting bagi membekalkan nutrien-nutrien tumbuhan yang lengkap dengan mineral, asid humik dan asid amino yang meluas dipakai dalam sektor pertanian.
Dari aspek siraman air pula, dia melakukan rutin penjagaan harian dengan dua kali siraman sehari ketika cuaca panas.
Hayati tetap akan menyiram pokok-pokok bunga miliknya walau hari hujan, kerana pokok-pokok yang tumbuh merimbun tidak memperoleh air hujan yang mencukupi berbanding pokok yang ditanam di dalam pasu.
Kongsinya lagi, kenalan serta jiran-jiran menyifatkan dia mempunyai ‘sentuhan ajaib’ kerana kebolehan dalam mengendalikan tanaman yang dianggap sukar oleh sesetengah orang.
Dalam pada itu, disebabkan dia sendiri tidak begitu gemar makan sayur, hasil tanaman yang diusahakan dihulurkan kepada jiran tetangga yang datang berkunjung.
‘‘Ada juga orang luar yang singgah rumah untuk membeli sayur-sayur ini. Sesetengahnya sanggup membeli pada harga yang lebih mahal daripada kedai,’’ kongsinya yang sedikit sebanyak memperoleh pendapatan hasil daripada minat yang mendalam terhadap tanaman hijau.
Hayati juga menganggap nurseri tanaman di sekitar daerah tempat tinggalnya bagai rumah kedua kerana terlalu obses dengan keindahan pokok dan bunga, sehinggakan setiap bunga yang baharu sampai, dia menjadi pelanggan pertama.
Malah, ramai pemilik kedai bunga dan penjual baja menggunakan gambar-gambar tanaman milik Hayati bagi melariskan lagi jualan.
‘‘Sejak berkebun, saya seronok melihat perubahan ruang di halaman rumah yang dipenuhi tanaman menghijau dan warna-warna bunga yang pelbagai.
“Saya juga dapat menambah kenalan baharu dari serata tempat termasuk negara jiran, Indonesia melalui perkongsian dalam media sosial,’’ katanya.










