PM mahu Matrade guna data raya bantu usahawan tempatan - Utusan Malaysia

PM mahu Matrade guna data raya bantu usahawan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sebuah agensi penggalakkan perdagangan negara menggunakan data raya untuk membantu usahawan tempatan mengeluarkan produk dan perkhidmatan tepat, yang diperlukan oleh dunia.

“Maklumat yang memacu ekonomi. Lebih banyak maklumat yang anda miliki maka lebih baik kedudukan anda kerana data menyumbang dalam membuat keputusan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini di Kota Kinabalu sempena penerbitan buku kenang-kenangan sambutan ulang tahun ke-25 Matrade.

Mahathir berkata, Matrade perlu menghimpunkan data dari serata dunia untuk membolehkan usahawan tempatan mengetahui kemahuan dan keperluan dunia.

“Anda tidak boleh membuat keputusan mengejut untuk mengeluarkan sesuatu produk sedangkan anda tidak mengetahui (maklumat) mengenai pasarannya,” katanya.

Beliau berkata, maklumat seperti keadaan pasaran sasaran, peserta sedia ada, dasar negara dan akses kepada pasaran merupakan maklumat yang amat penting, yang perlu dikumpulkan Matrade bagi memastikannya dapat berperanan secara lebih berkesan.

Mengulas mengenai kemahuan pasaran, Perdana Menteri berkongsi contoh bagaimana tindakan penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk menyediakan makanan halal memandangkan sejumlah besar peserta dan penonton beragama Islam bakal hadir ke temasya itu.

“Justeru itu, usahawan Malaysia perlu memanfaatkan peluang seperti itu bagi acara Olimpik dua tahun dari sekarang.

“Kita tahu terdapat 1.7 bilion penduduk beragama Islam di dunia dan mereka amat mementingkan soal makanan yang mereka makan, sama ada ia halal atau sebaliknya.

“Oleh itu, kita boleh lihat bahawa banyak produk yang boleh kita keluarkan di dunia ini kerana kita tahu bagaimana untuk menghasilkannya. Kita boleh bekerjasama dengan Jepun, sebagai contoh, untuk menghasilkan produk halal untuk mereka,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada wujud konflik kepentingan dalam mempromosikan pelaburan langsung asing sedangkan pada masa sama menggalakkan usahawan tempatan menjadi jaguh dunia, Mahathir berkata, Malaysia perlu menekankan kedua-duanya.

“Tiada guna mengetahui apa yang setengah-setengah negara perlukan namun tidak dapat memastikan sama ada kita boleh mengeksport atau sebaliknya,” katanya, dengan menambah sekiranya terdapat soalan ditanya mengenai sama ada Malaysia boleh menghasilkan sebuah pesawat yang lengkap, sudah pastinya jawapan tidak.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia boleh dianggap mampu mengeluarkan komponen pesawat tertentu untuk pembuat pesawat besar seperti Boeing dan Airbus serta ini adalah hasil daripada kewujudan aliran FDI ke dalam negara untuk mengeluarkan bahagian khusus tersebut.

Mahathir berkata, Malaysia pada peringkat awal banyak bergantung kepada FDI kerana negara ini tidak memiliki modal, teknologi, kepakaran pembuatan atau mengetahui potensi pasaran.

“Namun selepas pelabur asing melabur di negara ini, rakyat kita bekerja dengan mereka di samping memperolehi pengetahuan serta kemahiran bagi memulakan industri sendiri yang pastinya bermula dengan industri kecil.

“Mereka berkemungkinan mampu membekalkan kepada syarikat asing, yang pernah menjadi majikan mereka sebelum ini. Pelabur asing juga boleh mewujudkan (operasi) di peringkat tempatan kerana mereka memerlukan komponen itu, jadi anda seharusnya memanfaatkan peluang ini dan menghasilkan komponen untuk ditawarkan syarikat itu.

“Semua ini membolehkan kita mempelajari mengenai pembuatan dan sudah pasti, akhirnya, anda boleh mula mengeksport,” katanya.

Mengenai kesan e-dagang ke atas perdagangan, beliau berkata, ia selalunya akan memberi kesan dari segi potensi pasaran yang lebih luas.

“Serata dunia kini menjadi pasaran anda. E-dagang membolehkan semua pihak menjual barangan dan perkhidmatan di luar negara, malah dari kampung,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN