PKR Pahang negeri kelima mengundi - Utusan Malaysia

PKR Pahang negeri kelima mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 6 Okt. – Proses memilih kepemimpinan PKR bagi negeri ini bermula hari ini melibatkan kira-kira 33,000 ahli dari 14 cabang parti itu.

Daripada jumlah berkenaan, dijangka kurang 50 peratus ahli PKR akan menunaikan tanggungjawab mereka keluar mengundi.

Sebanyak 14 pusat pengundian mengikut cabang parti berkenaan disediakan yang dibuka mulai 10 pagi hingga 5 petang ini bagi ahli menentukan pilihan mereka.

Pahang menjadi negeri kelima menjalankan proses memilih kepemimpinan PKR selepas Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Mereka akan memilih pemimpin untuk mengisi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), ketua wanita dan ahli jawatankuasa MPP.

Tumpuan pastinya siapa menjadi pilihan ahli PKR Pahang untuk memilih regu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan presiden parti itu sama ada mengekalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau

Rafizi Ramli.

Pada penamaan calon 5 Ogos lepas, Anwar menang tanpa bertanding sebagai presiden apabila tiada calon lain tampil bagi merebut jawatan berkenaan.

Keputusan melibatkan empat negeri sehingga semalam menyaksikan saingan sengit yang mana Mohamed Azmin dikatakan mendahului Rafizi dengan jumlah undi yang tipis.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen yang bersatus menteri dan timbalan menteri di negeri ini menawarkan diri bertanding mengisi jawatan di peringkat MPP.

Mereka ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar sebagai calon ahli jawatankuasa MPP dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai calon Ketua Wanita PKR.

Bagi pemilihan peringkat cabang, ahli PKR akan memilih ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 ahli jawatankuasa cabang.

Mereka turut memilih barisan kepemimpinan AMK cabang dan Wanita cabang.

Sebelum pusat pengundian dibuka, enam daripada 14 calon ketua cabang PKR sudah menang tanpa bertanding iaitu Cabang Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Kuala Krau, Rompin dan Cameron Highlands.

Sementara itu, bagi memastikan kelancaran sepanjang proses pemilihan berkenaan, PKR Pahang mendapatkan bantuan polis untuk kawalan keselamatan.

Keputusan pengundian dijangka diketahui seawal pukul 6 petang dan dimaklumkan di pusat mengundi setiap cabang selain maklumat terkini keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dipaparkan di portal www.pemilihankeadilan2018.com dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN