BANGKOK 13 Okt. – Tiga banduan yang melarikan diri dari sebuah mahkamah wilayah di selatan Thailand 48 jam lepas, berjaya diberkas semula pagi ini. Ketua Pengarah Jabatan Koreksional Thailand Naras Savestanan dalam kenyataan hari ini berkata, ketiga-tiga banduan lelaki itu ditangkap semula kira-kira 6.20 pagi ini (waktu tempatan) berhampiran sebuah bukit di Tambon Taco, daerah Tungtago di wilayah Chumphon. Ketua pengarah itu akan ke Chumphon lewat hari ini untuk menyoal ketiga-tiga lelaki itu. Dalam insiden nekad yang dirakamkan kamera keselamatan berhampiran, ketiga-tiga banduan itu merempuh keluar dari kompleks mahkamah Lang Suan setelah mencuri sebuah trak penjara yang digunakan untuk membawa mereka ke kompleks mahkamah. Mereka adalah antara sekumpulan enam banduan yang melarikan diri dari mahkamah, bagaimanapun tiga daripada mereka yang cuba lolos dengan berjalan kaki, ditahan semula hampir serta-merta oleh pengawal yang bertugas. – BERNAMA











