PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) menganggarkan kira-kira 40 peratus daripada seramai 75,770 pengundi berdaftar di Port Dickson menetap di luar daerah ini.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya bimbang pengundi terbabit tidak pulang mengundi pada 13 Oktober ini boleh memberi kesan kepada jumlah undi diterima calon PH.
“Kami dimaklumkan di sesetengah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Port Dickson, jumlah pengundi beralamat di sini yang secara fizikal di luar kawasan boleh mencecah 30 hingga 40 peratus.
“Memang kami bimbang jika mereka tidak pulang mengundi. Pada masa sama kami juga tidak pasti berapa ramai berada di luar negara ketika ini,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini.
Calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Port Dickson kali ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum dan bakal Presiden PKR. – K! ONLINE











