Perubahan iklim ubah hidup penduduk Bangladesh - Utusan Malaysia

Perubahan iklim ubah hidup penduduk Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG kanak-kanak Bangladesh yang berusia tujuh tahun, Mosammat Rekha tidak dapat membaca dan menulis kerana sekolahnya sering dilanda banjir.

Bagaimanapun, dia mempelajari huruf abjad di atas sebuah kapal di Chalan Beel, barat laut Dhaka yang dilengkapi dengan peralatan bilik darjah.

“Kami akan menghadiri kelas pada musim hujan kerana ia akan menenggelamkan sekolah sehingga mengganggu proses pembelajaran,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenal pasti Bangladesh antara negara yang terjejas teruk akibat perubahan iklim.

Justeru, berjuta-juta orang yang tinggal di tanah rendah terpaksa menyesuaikan diri apabila ribut dan siklon melanda menyebabkan berlakunya limpahan air.

Di kampung seperti Kalidaskhali di tebing Sungai Padma turut terjejas apabila limpahan air setinggi lima meter memusnahkan segala-galanya.

“Hari ini rumah dan seekor lembu milik saya telah musnah dan yang tinggal hanya air,” kata Rukaiya Khatun sambil menatap kemusnahan rumahnya yang telah mendap.

Rumah buluh

Lebih 9,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sungai Padma dalam tempoh lima tahun. Sungai Padama merupakan anak sungai utama sungai Ganges.

Pemanasan telah menyebabkan hujan monsun yang tidak diduga di seluruh Bangladesh dan telah mencairkan glasier Himalaya ke utara.

Penduduk terpaksa bergelut untuk mengadaptasi perubahan iklim kerana keadaan sungai telah berubah.

Rata-rata masyarakat dari pelbagai peringkat mencari cara untuk menangani isu perubahan iklim yang tidak menentu.

Mahasiswa di BRAC University, Dhaka, Bangladesh bulan lalu telah melancarkan model rumah buluh terapung yang dapat digunakan penduduk sekiranya berlakunya banjir.

Dianggarkan, 20 juta orang menjadi pelarian iklim menjelang akhir abad ini dan PBB telah mengeluarkan amaran bahawa banjir kilat akan memusnahkan bandar-bandar di Bangladesh.

Di Chalan Beel, sekolah-sekolah terapung bergerak di sepanjang sungai mengikut aliran air banjir bagi memberikan peluang pendidikan kepada kanak-kanak yang terjejas.

“Kini, mereka mempunyai pendidikan sepanjang tahun yang tidak akan terhenti meskipun banjir berlaku,” kata Mohammad Rezwan, Ketua Badan Amal Shidhulai Swanirvar Sangstha.

Hari ini terdapat lebih 20 buah sekolah terapung di kawasan Chalan Beel menyebabkan ramai badan amal lain turut meniru idea yang sama.

Model yang lebih kecil dilengkapi dengan meja, perpustakaan dan papan tulis, manakala sebuah model yang lebih mewah mempunyai papan tulis, ruang makanan dan mainan.

Kanak-kanak juga belajar menggunakan komputer riba.

Uniknya, kelas berkenaan dikuasai oleh panel solar yang menggunakan cahaya matahari sebagai sumber utama.

Pada waktu malam, sebaik sahaja sesi persekolahan selesai, orang dewasa datang untuk mempelajari teknik pertanian mengikut perubahan iklim.

Rezwan berkata, para petani telah diajar cara untuk bercucuk tanam menggunakan benih terapung.

Ia adalah rentetan penduduk luar bandar yang kehilangan pendapatan dan mengalami kerugian besar apabila air bah naik mendadak.

Bangladesh telah melabur lebih daripada AS$400 juta (RM1.7 juta) untuk projek penyesuaian, termasuk pengurusan banjir, teknologi terapung dan stesen pemurnian air mudah alih.

“Ia menunjukkan betapa seriusnya kita memandang isu ini,” kata Mukhlesur Rahman Sarker, Timbalan Ketua Amanah Perubahan Iklim Bangladesh.

Inovasi tempatan yang dicipta telah mengubah kehidupan penduduk di Chalan Beel.

Mosammat Jharna, ibu kepada dua orang anak menghabiskan masa mudanya di sepanjang jalan yang dilimpahi air banjir menyifatkan sekolah terapung sebagai simbol harapan.

Sekolah terapung yang berlabuh dekat dengan rumahnya menjadi simbol harapan perubahan landskap pada masa hadapan.

“Impian saya adalah untuk mendiidk anak-anak menjadi manusia berguna kini menjadi kenyataan. Saya tidak mahu mereka menjadi buta huruf,” katanya. 
– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini