KUALA LUMPUR – Perubahan harga barangan tidak dipengaruhi oleh faktor Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semata-mata, tetapi juga disebabkan oleh faktor lain, seperti masalah permintaan dan penawaran, kadar tukaran wang asing, harga pasaran minyak dunia dan margin keuntungan peniaga, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Katanya, kesemua faktor itu sedang dipantau dengan rapi oleh kerajaan, khususnya aktiviti antipencatutan supaya dapat mengambil tindakan ke atas peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya untuk meraih keuntungan yang tidak munasabah.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menjalankan usaha penguatkuasaan untuk memastikan bahawa tiada peniaga yang cuba mengambil kesempatan seperti yang saya sebutkan.
“Kerajaan juga memohon kerjasama rakyat dan pengguna untuk memberikan maklumat kepada KPDNHEP sekiranya ada kegiatan tidak sihat seperti ini,” katanya menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Lim menjawab pertanyaan mengenai wujudnya kekeliruan berkenaan pelaksanaan semula SST.
“Kekeliruan dalam kalangan rakyat berkemungkinan berkaitan perbezaan skop kenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan SST, kadar cukai yang dikenakan serta kesan kedua-dua cukai ini kepada harga barangan.
“Bilangan barangan dikenakan cukai jualan lima peratus dan 10 peratus serta perkhidmatan yang dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus adalah jauh lebih kecil berbanding GST,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya ada kenaikan harga barangan berikutan pelaksanaan SST pada 1 September 2018, kesannya secara am pasti lebih kurang berbanding peningkatan disebabkan oleh pelaksanaan GST pada 1 April 2015 kerana kutipan cukai SST adalah jauh lebih kurang berbanding GST.
Jangkaan kutipan hasil SST adalah sekadar RM21 bilion setahun berbanding hasil GST sebanyak RM44 bilion yang dijangka dikutip pada tahun 2018, kata Guan Eng
“Ini bermaksud, beban cukai ke atas pengguna adalah jauh lebih rendah kerana RM23 bilion dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk cukai yang lebih kecil.
“Kekurangan bayaran cukai ini bermakna rakyat akan mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan berbanding dahulu,” katanya.
Beliau berkata, perkara ini disebabkan oleh skop kenaan cukai sebanyak 60 peratus daripada Bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna) yang lebih luas untuk GST berbanding 38 peratus daripada bakul berkenaan di bawah SST; pengecualian sebanyak 5,443 item barangan dan perkhidmatan di bawah SST yang merupakan 10 kali ganda lebih besar daripada 545 item barangan yang dikecualikan di bawah GST; serta 11,197 barangan yang dikenakan cukai GST berbanding 6,405 barangan yang dikenakan cukai SST.
Katanya, sejak SST dilaksanakan, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia sudah meneliti segala maklum balas dan rayuan daripada pihak berkepentingan sektor perdagangan dan industri serta membuat keputusan untuk mengecualikan beberapa barangan daripada dikenakan cukai SST, juga menyemak semula kadar cukai jualan ke atas barangan tertentu.
Antaranya, kad prabayar untuk telefon bimbit yang digunakan rakyat Malaysia, kacang tanah, komponen pemasangan tempatan (CKD) import untuk pemasang kereta francais tempatan, ikan masin, ikan pekasam, ikan jeruk, ikan masam, makanan laut di dalam kategori crustacean dan mollusk, pewter, beg plastik untuk pembungkusan beras, sewa ruang pejabat di dalam restoran, selain kapal, feri dan bot yang digunakan untuk pengangkutan awam dikecualikan daripada kenaan cukai SST.
Katanya, kerajaan juga membuat semakan semula kadar cukai jualan daripada 10 peratus kepada lima peratus ke atas barangan kosmetik, produk kecantikan dan penjagaan kulit, aksesori telefon bimbit, jam, tayar celup, tayar pneumatik dan tiub motosikal.
“Proses semakan semula kadar cukai SST ini masih berterusan dan keputusan untuk barangan yang terpilih akan diumumkan selepas ia dimuktamadkan.
“Jelas sekali jumlah barangan dan perkhidmatan yang akan dicukai di bawah SST adalah jauh lebih kecil daripada semasa era GST,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan ini bertujuan memastikan proses pengurusan lebih lancar dan juga lebih memudahkan perniagaan supaya kenaan cukai bertindih dapat dielakkan. – Bernama










