TRADISI pengundi Sarawak yang sentiasa memberi kemenangan selesa kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR sebelum ini, dijangka berubah pada sesi pemilihan parti itu di Bumi Kenyalang pada 10 November nanti.
Perubahan ‘angin’ pengundi pada kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dengan lawannya, Rafizi Ramli yang masing-masing memiliki peluang 50-50 untuk menang.
Seramai 54,000 ahli PKR Sarawak layak untuk mengundi pada pemilihan kali ini, namun yang merisaukan ialah jika 13,000 ahli baharu yang didaftarkan di Cabang Julau turut dibenarkan mengundi.
Cabang Julau mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila PKR Sarawak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa Ahli Parlimen Julau, Larry Sng menggunakan wang untuk menambah jumlah ahli apabila berlaku peningkatan ahli secara mendadak.

Selain itu, PKR Sarawak turut mengemukakan aduan kepada kepemimpinan PKR berhubung kejanggalan keanggotaan dalam PKR Cabang Julau yang menambah jumlah ahli kepada lebih 13,000 daripada 603 pada Jun lalu dalam satu hari menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti pusat itu.
Walau bagaimanapun, PKR Sarawak kecewa apabila Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menerima laporan itu tidak mengambil sebarang tindakan dengan alasan aduan pertambahan mendadak ahli PKR terbabit bukan di bawah bidang kuasanya, sebaliknya tanggungjawab penyandang jawatan Naib Presiden parti, Dr. Xavier Jayakumar.
Muncul khabar angin yang menyatakan tindakan Saifuddin ‘lepas tangan’ dalam isu itu ada kaitan dengan hubungan baiknya dengan Larry dan bapanya, bekas Ahli Parlimen Julau, Datuk Sng Chee Hua yang merupakan penyokong kuat Rafizi.
PKR Sarawak mempertikaikan kesetiaan Larry terhadap parti kerana pemimpin itu menyertai PKR beberapa minggu selepas memenangi Parlimen Julau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu atas tiket Bebas.
Larry yang menyokong kuat Rafizi juga dikatanya aktif mengukuhkan ‘kubu’ bagi lawan Azmin itu di bahagian tengah dan utara Sarawak apabila meletakkan orangnya bertanding di cabang Kapit, Lubuk Antu, Kanowit, Sarikei, Miri dan Baram.
Tindakan Larry ternyata tidak disukai pemimpin PKR Sarawak yang lain termasuk pemimpin tertinggi negeri yang menyokong kuat Azmin selama ini.
Majoriti pemimpin dan ahli lama PKR Sarawak menyokong Azmin atas empat alasan.
Pertama, mereka berpendapat kesetiaan Azmin terhadap agenda dan reformasi parti tidak perlu dipertikaikan kerana sudah lebih 20 tahun bersama PKR dan sentiasa menyokong bakal presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak sebelum parti ditubuhkan.
Kedua, mereka melihat kepemimpinan cemerlang Azmin sudah terbukti berdasarkan kejayaannya mentadbir Selangor semasa menjawat jawatan Menteri Besar.
Seterusnya, Azmin merupakan pemimpin paling kuat menyokong dan membantu PKR Sarawak semasa berlangsungnya beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Keempat, peribadi Azmin yang sentiasa tenang, tidak mudah melatah walaupun berdepan fitnah dan dugaan serta pengalaman memimpin yang luas memberi kelebihan kepada beliau untuk mengekalkan jawatan pada pemilihan kali ini.
Tercapai atau tidak matlamat itu, semuanya bergantung kepada 54,000 ahli PKR Sarawak di 29 cabang yang mengundi pada 10 November ini.










