Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 catat sejarah - Utusan Malaysia

Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 catat sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS hampir enam dekad, rakyat Kedah berpeluang menyaksikan detik yang mencatat sejarah apabila Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 bakal dilangsungkan di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada 22 Oktober ini.

Istiadat pertabalan itu diadakan selepas 59 tahun, setelah istiadat sebelum ini diadakan pada 20 Februari 1959 sempena pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah Ke-28. Sultan Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit pada 11 September 2017.

Istiadat pertabalan Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah Ke-29 merangkumi lima istiadat utama iaitu Istiadat Letak Kerja, Istiadat Ziarah Makam, Istiadat Siram Tabal, Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan serta Istiadat Pertabalan Sultan Kedah.

Kesemua istiadat itu dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat yang ingin melihat Sultan Sallehuddin memerintah negeri Jelapang Padi ini dengan penuh kebijaksanaan.

Pakar sejarah, Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, pertabalan Sultan Kedah Ke-29 itu merupakan pertabalan ketiga Sultan Kedah yang dilaksanakan mengikut istiadat sebenar di negeri ini.

Wan Shamsudin, 86, yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah berkata, menurut Manuskrip Peringatan Raja-Raja Kedah yang ditulis pada 1914, Sultan Kedah pertama yang ditabal mengikut istiadat sebenar itu ialah Sultan Kedah Ke-22 iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni Sultan Abdullah Mukarram Shah.

“Pada masa itu, Sultan Ahmad Tajuddin ditabal menjadi Sultan Kedah Ke-22 di Balai Besar di sini (Alor Setar). Kemudian, pertabalan kedua adalah semasa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabal sebagai Sultan Kedah Ke-28,” katanya yang kini berusia 80-an.

Beliau menjelaskan bahawa semasa Sultan Badlishah dilantik menjadi Sultan Kedah Ke-27, tidak ada upacara pertabalan dilaksanakan kerana ketika itu adalah zaman penjajahan Jepun.

“Baginda (Sultan Badlishah) dilantik sahaja, begitu juga dengan Sultan Abdul Hamid yang turut dilantik sebagai Sultan Kedah Ke-26,” katanya.

Wan Shamsudin, bekas guru, turut berkongsi pengalamannya meraikan istiadat pertabalan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Sultan Kedah Ke-28 pada 1959 dengan berhimpun di kawasan luar Balai Besar.

Beliau berkata, ramai rakyat yang menunggu di sepanjang jalan sekitar Balai Besar untuk melihat Sultan Abdul Halim, yang ketika itu berarak menaiki kereta mengelilingi bandar Alor Setar selepas istiadat pertabalan itu sebelum berangkat balik ke Istana Anak Bukit.

“Kini, sejarah pertabalan Sultan Kedah sekali lagi berulang dan saya beperluang meraikan pertabalan Sultan Kedah Ke-29 pula,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN