Permohonan bapa Altantuya ditolak - Utusan Malaysia

Permohonan bapa Altantuya ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 1 Okt. – Bapa Altantuya, Dr. Setev Shaariibuu gagal dalam permohonannya untuk mengguna pakai sabitan jenayah kes pembunuhan anak perempuannya itu dalam tuntutan saman sivil RM100 juta yang difailkan keluarganya terhadap kerajaan Malaysia dan tiga individu lain.

Keputusan penolakan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera di kamar hakim di sini hari ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu berkata, mahkamah menolak permohonan itu kera­na terikat dengan Seksyen 43 Keterangan 1950 yang menyatakan bahawa perkara jenayah tidak boleh dibawa dalam perbicaraan kes sivil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seksyen itu melarang dan menghalang penggunaan sabitan jenayah dalam kes sivil. Itu keputusan mahkamah.

“Seksyen 43 itu adalah berdasarkan perundangan United Kingdom (UK) tetapi UK sudah meminda seksyen itu, begitu juga dengan negara-negara lain termasuk Singapura,” katanya ketika ditemui pemberita di mahkamah.

Sangeet bagaimanapun ber­kata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu minggu ini.

Shaariibuu pada Julai lalu memfailkan permohonan untuk mengguna pakai keputusan kes jenayah pembunuhan anaknya, Altantuya dalam saman sivil RM100 juta itu.

Permohonan itu membabitkan sabitan bersalah dua tertuduh utama kes pembunuhan Altantuya, 28, iaitu bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Bukit Aman, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki­nya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman RM100 juta ter­hadap kerajaan Malaysia, Azilah, Sirul Azhar dan peng­analisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda.

Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mendapati Azilah dan Sirul Azhar bersalah membunuh Altantuya dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-duanya, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan mereka berdua.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya pada 2006 namun beliau telah dibebaskan selepas perbicaraan 
di Mahkamah Tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini