KUALA LUMPUR 24 Okt. – Permintaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya pemaju hartanah menurunkan harga rumah sebelum pembentangan Bajet 2019, 2 November ini dilihat sukar untuk direalisasikan.
Bagaimanapun, buat masa ini, semua pemaju masih menunggu hasil kajian Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang dijangka dibentangkan pada kerajaan sebelum tarikh berkenaan.
Ini susulan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan apabila cukai itu dilaksanakan 1 September lalu dan kerajaan mengharapkan harga rumah dapat diturunkan.
Beberapa penganalisis sebelum ini berpendapat, SST bukan faktor utama yang boleh menurunkan harga rumah sebaliknya bergantung kepada faktor-faktor lain.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad, Datuk Seri Fateh Iskandar FD Mansor, terdapat banyak kos yang semakin meningkat antaranya caj premium dan kos pembangunan.
Katanya, kebanyakan pemaju kini bukan lagi memikirkan tentang margin keuntungan tetapi lebih memberi tumpuan kepada pengurusan aliran tunai bagi memastikan syarikat mampu bertahan selepas berdepan situasi mencabar sejak tiga tahun lalu.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi pengecualian dalam hal ini tetapi dalam masa sama, kita tidak mahu hanya kos ini turun, kos lain pula yang naik. Perkara ini masih dalam kajian dan kita akan bersama-sama Rehda membuat keputusan berhubung perkara ini.
“Dalam masa sama, kita berharap kerajaan negeri juga mengikut jejak langkah ini kerana ia memerlukan satu langkah yang komprehensif dan holistik, dan bukannya SST semata-mata,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Glomac ke-34 di sini hari ini.
Kerajaan akan menimbang semula untuk menarik balik pengecualian tersebut sekiranya pemaju hartanah ingkar untuk menurunkan harga rumah. Ini kerana sewaktu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, sektor pembinaan dikenakan cukai enam peratus termasuk sewa, bil utiliti dalam sektor komersial dan industri, namun kini semua sudah dikecualikan daripada cukai.
Fateh Iskandar memberitahu, Glomac memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM780 juta bagi projek kediaman atas tanah dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik di bandar-bandar berpotensi termasuk Selangor dan Johor dengan 65 peratus daripadanya berharga di bawah RM500,000.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM347 juta atau 44 peratus adalah kediaman bertanah manakala RM302 juta (39 peratus) kediaman bertingkat dan RM131 juta (17 peratus) merupakan pembangunan komersial.
“Sektor hartanah diramal mencabar kerana pertumbuhan gaji perlahan dan dasar pinjaman yang ketat terus menjejaskan jualan. Kita berharap rangkaian produk pasaran pertengahan dan mampu milik yang ditawarkan akan menarik perhatian pembeli milenial meliputi demografik pembeli rumah pertama terbesar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan akan memperkenalkan semula kempen pemilikan rumah yang pernah dilaksanakan pada 1998 dan 1999 dalam usaha mendepani isu hartanah negara ketika ini.











