Perlu sistem pencen lebih baik - Utusan Malaysia

Perlu sistem pencen lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Lebih lima juta penduduk Malaysia akan berumur lebih 60 tahun menje­lang 2030 manakala hampir 10 juta akan mencecah peringkat usia tersebut pada 2050. Sudah tentu ini adalah sesuatu yang membimbangkan terutama melibatkan persediaan menje­lang usia persaraan.

Walaupun, menurut skor yang dikeluarkan Indeks Pencen Global Melbourne Mercer menunjukkan Indeks Pencen Global Malaysia meningkat 0.8 mata dengan memperoleh 58.5 skor berbanding 57.7 mata tahun lalu tetapi mengekalkan penarafan C. Sehubungan itu, ia memerlukan beberapa langkah bagi menangani negara berpenduduk tua.

Ketua Pegawai Eksekutif Mercer Malaysia, Hash Piperdy berkata, skor kelestarian Malaysia juga menurun daripada 61.2 kepada 60.5 mata berdasarkan indeks tersebut. sekali gus me­nunjukkan masih ada jurang yang boleh mewujudkan risiko dari segi sistem kemapanan jangka panjang disebabkan popu­lasi penduduk tua.

“Jadi, adalah menjadi satu keperluan untuk mengatasi masalah ini memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan untuk persaraan yang mencukupi selain Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sudah tiba masanya bagi industri dan kumpulan masyarakat melihat Skim Persaraan Swasta (PRS) dan kaedah lain yang boleh membantu meningkatkan simpanan jangka panjang dengan lebih serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Indeks Pencen Global Melbourne Mercer diterbitkan Pusat Penyelidikan Kewangan Australia (ACFS) dengan kerjasama Mercer dan Kerajaan Negeri Victoria yang menyediakan sebahagian besar dana. Sokongan kewangan juga disediakan The Finnish Centre for Pensions.

Terdapat tiga subindeks yang diguna pakai dalam indeks berkenaan iaitu kebolehterimaan, kelestarian dan integriti untuk mengukur setiap sistem pendapatan persaraan terhadap lebih 40 indikator.

Di Malaysia, keseluruhan sistem pendapatan persaraan adalah bersandarkan kepada KWSP meliputi semua kakita­ngan di peringkat swasta dan sektor awam yang tidak terlibat di bawah sistem pencen kerajaan.

Pencarum mempunyai kelebihan untuk mengeluarkan simpanan itu (bergantung kepada ketetapan seperti untuk pendidikan dan pinjaman rumah) dengan pelbagai faedah untuk persaraan. Indeks itu mencadangkan sistem tersebut boleh ditambah baik dengan mening­katkan tahap sokongan minimum bagi golongan termiskin individu berumur, meningkatkan tahap simpanan isi rumah dan mengurangkan hutang isi rumah.

Selain itu, turut dicadangkan ialah memperkenalkan keperluan bahawa sebahagian daripada manfaat persaraan mesti diambil sebagai aliran pendapatan dan meningkatkan usia persaraan memandangkan tempoh hayat semakin bertambah.

Berdasarkan Indeks Pencen Global Melbourne Mercer tersebut yang mengukur 34 sistem pencen, menunjukkan Belanda dan Denmark dengan skor ma­sing-masing 80.3 mata dan 80.2 mata mempunyai Gred A sistem pendapatan persaraan bertaraf dunia dengan faedah yang baik, sekali gus menunjukkan persediaan mereka untuk menghadapi dunia berpenduduk tua.

Bagaimanapun dalam me­ngukur tahap kebolehterimaan dan kelestarian, Denmark, Belanda dan Sweden memperoleh skor A atau B untuk kedua-duanya manakala Austria, Itali dan Sepanyol memperoleh skor B untuk kebolehterimaan tetapi Gred E untuk kelestrian yang jelas menunjukkan ia memerlukan pembaharuan semula.

Pengarah ACFS, Prof. Deep Kapur berkata, penuaan penduduk, tahap hutang berdaulat yang tinggi di sesetengah negara dan persaingan global untuk mengurangkan cukai memaksa keupayaan beberapa bidang kuasa untuk meningkatkan keselamatan pendapatan persaraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN