KUALA LUMPUR 20 Okt. – Sebarang keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.
Akta itu yang dirangka bertujuan mengelak berlakunya pertelingkahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum khususnya melibatkan isu-isu sensitif malah tidak boleh dimansuhkan dengan hanya membawa dan membahaskannya di Parlimen.
Hal ini kerana berdasarkan Perkara 10 (4) dan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak boleh meminda Akta Hasutan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengamal Undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan dalam forum tergempar kekalkan Akta Hasutan anjuran Biro Undang-undang dan Perlembagaan Negara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan rasa terkejut apabila wujud gerakan mahu memansuhkan akta itu.
“Sebelum masuk Parlimen juga perlu ada persetujuan Majlis Raja-Raja,” kata beliau.
Yang turut hadir bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd. Khalid Yunus; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta dua pengamal undang-undang, Adnan Seman dan Khairul Azam Abd. Aziz.
Abdul Aziz memberitahu, cadangan terbaharu itu bukan kali pertama akta tersebut mahu dimansuhkan dengan kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga pernah menyuarakannya.
“Tun Hanif (Omar) dan saya menghadap Majlis Raja-Raja Melayu dan memberi penjelasan, waktu itu Najib ada, Tan Sri Abdul Ghani Patail (bekas Peguam Negar) juga ada. Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan supaya jangan dibatalkan Akta Hasutan,” jelas beliau.









