Perlis bukan pusat penyebaran fahaman radikal – Mufti - Utusan Malaysia

Perlis bukan pusat penyebaran fahaman radikal – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN (Jordan) – Semua pusat pengajian agama di Perlis perlu melalui proses tapisan keselamatan terhadap pengambilan pelajar dan tenaga pengajar serta disahkan ‘bersih’ oleh Polis.

Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, Ketua Polis Negeri (CPO) sendiri dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri.

“Saya kerap bertanya kepada CPO mengenai pelajar di pusat-pelajar pengajian ini khususnya dari negara asing. Setelah polis mengesahkan barulah kita benarkan mereka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenyataan beliau dibuat berkaitan laporan berita mengenai penahanan lapan lelaki termasuk tujuh warga asing dalam operasi Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor pada 24 September lepas.

Mereka disyaki terlibat dalam tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan.

Lapan suspek itu terdiri daripada enam pelajar warga asing, seorang bekas pelajar warga tempatan dan seorang bekas tenaga pengajar warga asing di sebuah pusat pengajian Islam di Perlis.

Mohd. Asri berkata, penangkapan lapan individu yang dikaitkan dengan maahad tahfiz di Perlis itu tidak bermakna Perlis menjadi pusat penyebaran fahaman radikal.

“Kita tidak ada apa-apa kaitan dengan isu ini lagipun rakyat Perlis bersikap sederhana,” tambahnya.

Beliau berkata, dalam kes itu, pandangan keras berkaitan hukum oleh individu adalah sikap peribadi, bukan pegangan pusat-pusat pengajian agama yang beroperasi di Perlis.

“Saya mahu polis menjalankan siasatan dengan telus kerana sheikh-sheikh yang mengetuai pusat-pusat pengajian ini beri jaminan menyokong tindakan adil diambil jika terdapat penyebaran fahaman radikal atau keganasan.

“Jika benar, kita tiada masalah, boleh tangkap,” kata Mohd. Asri.

Mohd. Asri berada di Amman mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang melakukan lawatan kerja ke Jordan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini