Tom Hardy tidak gagal dalam misi menjayakan watak antihero dalam filem adiwira terbaharu yang berasal dari Marvel Comics iaitu Venom. Barangkali buat penonton yang sudah melunaskan durasi kira-kira 112 minit menyaksikan karya edaran Sony Pictures Releasing itu, apa yang kurang adalah dari segi naratif dan olahan skrip yang tidak begitu konsisten.
Masakan tidak, baru menjengah pawagam seluruh dunia, Venom arahan sutradara Ruben Fleischer mendapat kritikan hebat daripada laman kritikan filem seperti Rotten Tomatoes dengan markah bawah paras 30 peratus. Sementara itu, dalam kalangan penonton, ramai yang tidak berpuas hati dengan naratif filem berkenaan yang disifatkan kurang diterjemahkan dengan baik.
Tidak cukup dengan itu, beberapa hari lalu, Hardy atau nama lengkapnya, Edward Thomas Hardy mendedahkan kepada ComicsExplained, banyak babak kegemarannya dalam filem berkenaan dipotong.
Apabila ditanya wartawan yang menemubualnya mengenai babak kegemaran, Hardy, 41, menjawab: “Perkara-perkara yang tiada dalam filem.
“Ada lebih kurang 30 hingga 40 minit babak yang saya suka tiada dalam filem seperti komedi gelap. Anda tahu apa maksud saya, ia tidak lepas untuk ditayangkan.”
Cuba untuk menjernihkan keterlanjuran bicara, dalam satu kenyataan, Hardy berkata, dia tiada masalah dengan hasil akhir Venom.
“Saya ada banyak masa dan kebebasan bermain dengan watak Venom.
“Kenyataan saya sebelum ini tiada kena-mengena dengan apa yang dipaparkan dalam filem, namun kalau boleh saya ingin tonton versi Venom yang berdurasi tujuh jam,” katanya.
Situasi berkenaan barangkali memberi kesan yang besar terhadap perjalanan keseluruhan cerita. Karakter Venom seperti gambaran Marvel Comics seharusnya ‘pukul habis’ kerana kalau ikut sifir galaksi adiwira, watak anti-hero berkenaan tidak seharusnya dikekang kemaraannya semata-mata ingin mendapat klasifikasi PG-13 di Amerika Syarikat dan bahkan seluruh dunia.
Penerbit eksekutif filem itu, Matt Tolmach cuba meredakan keadaan dengan menafikan bahawa babak paling mengejutkan sengaja dipotong demi mendapatkan klasifikasi PG-13.
“Ramai yang bertanya wujudkan potongan babak R-rated (material dewasa) dalam filem. Jawapan saya tiada. Tiada juga yang sepatutnya ada dalam filem sengaja dipotong,” jelas Tolmach kepada comicbook.com beberapa minggu lalu.
Pengarah, Fleischer pula berkata: “Saya bangga untuk cakap saya sudah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin sebagai pengarah. Venom sudah melangkaui paras agresif seperti peminat mengharap.”
Inspirasi Conor McGregor
Hardy sebelum ini mendedahkan watak wartawan penyiasatan bernama Eddie Brock dalam Venom mendapat sedikit suntikan inspirasi daripada watak peninju ternama kelahiran Ireland, Conor McGregor.
Kata Hardy kepada portal RTÉ Entertainment, peninju profesional sukan seni tempur campuran (MMA) itu yang terkenal dengan peribadi suka mencari pasal dengan semua orang merupakan antara rujukan menjayakan watak Venom.
“Saya tidak rasa dia akan terganggu dengan pendedahan saya ini. McGregor bukan jenis orang yang mudah terganggu walaupun orang menyebut namanya.
“Bagaimanapun, saya memerlukan inspirasi untuk membawakan watak Brock atau Venom. Saya harus akui, McGregor individu yang hebat dalam bertarung,” tutur Hardy yang sebelum ini mendapat pujian menggunung hasil lakonan dalam filem seperti Mad Max: Fury Road, The Revenant dan Dunkirk.
Ujarnya lagi, Venom turut mengambil inspirasi daripada karakter terkenal seperti Harrison Ford dan Indiana Jones.
“Penonton mungkin tidak nampak dalam filem namun buat saya sendiri, karakter-karakter ikonik yang saya sebutkan itu menjadi ‘kunci’ terbesar terhadap terjemahan watak Eddie Brock atau Venom,” katanya.
Bukan peminat
Ditanya sama ada dia merupakan peminat watak Venom, Hardy memberitahu anaknya, Louis Thomas membuatkan dirinya bersetuju untuk berlakon dalam filem berkenaan.
“Anak saya merupakan peminat tegar Venom. Saya tahu watak tersebut dari komik ketika kecil dan ada tengok muka depan komik, namun tidak pernah mengambil berat tentangnya.
“Saya harus akui bukan peminat tegar komik, namun percayalah, Venom lebih menarik daripada Spider-Man. Untuk saya, Venom hanyalah Spider-Man ‘hitam’ sahaja sebelum berlakon dalam filem ini,” terangnya.
Bagaimanapun, pasangan kekasih aktres jelita Charlotte Riley itu mendedahkan selepas terlibat dalam pembikinan Venom, dia sudah menjadi peminat tegar.
“Berbanding dahulu, sekarang saya merupakan peminat tegar Venom. Dinamik antara Eddie Brock dan symbiote (alien), memilih untuk mendengar ‘suara’ sendiri atau Venom, semua elemen dan cabaran itu membuatkan saya jatuh dengan karakter ini,” katanya yang turut mendedahkan bakal berlakon untuk sekuel selanjutnya.
Venom yang dibarisi pelakon handalan lain seperti Michelle Williams, Riz Ahmed, Scott Haze dan Reid Scott mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 4 Oktober lepas. Ia mengisahkan tentang seorang wartawan yang dijadikan ‘tetamu’ oleh parasit dari planet Klyntar yang dinamakan Symbiote.











