KUALA LUMPUR 7 Okt. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof perlu mengambil tindakan tegas termasuk menyaman sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeris yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbau fitnah.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Agama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata, tindakan itu perlu diambil kerana sebelum ini Mujahid mendakwa dirinya difitnah berhubung larangan penguatkuasaan operasi khalwat kepada pasangan Islam.
Malah tegas Amini Amir, akhbar tersebut juga sewajarnya menerbitkan rakaman penuh kenyataan Mujahid bagi menentukan pihak yang berbohong.
“Jika Mujahid mendakwa difitnah, maka beliau sepatutnya mengambil tindakan menyaman akhbar tersebut.
“Media berkenaan juga wajar mengeluarkan kenyataan penuh Mujahid bagi menentukan siapa yang benar dan siapa pembohong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, dalam laporan eksklusif The Star melaporkan, Mujahid memberitahu, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.
Kenyataan tersebut mendapat kecaman daripada pelbagai pihak dan setelah beberapa jam kemudian Mujahid mengeluarkan kenyataan memberitahu dirinya difitnah.
Tambah Amini Amir, sekiranya kenyataan itu benar, Mujahid seharusnya meletakkan jawatan sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan hal ehwal Islam.
“Negara kita ada undang-undang agama, adakah sesuatu jenayah syariah tidak dianggap sebagai jenayah sekiranya dilakukan dalam rumah?” soalnya.











