Perkasa fungsi masjid - Utusan Malaysia

Perkasa fungsi masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 4 Okt. – Jawatankuasa masjid di negeri ini diseru mengambil langkah proaktif dalam usaha mengembalikan dan memperkasakan fungsi tempat ibadah umat Islam itu agar terus diimarahkan masyarakat seiring dengan pere­daran zaman.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, sebagai institusi terpenting dalam Islam, masjid merupakan nadi kepada sesebuah masyarakat di samping menjadi jambatan dalam mengukuhkan persaudaraan, kesefahaman, kesatuan, keharmonian, keadilan dan keilmuan ummah.

Oleh yang demikian, titah baginda, amat wajar masjid diurus tadbir dengan baik dari segi organisasi, aktiviti, prasarana dan perkhidmatan agar ia benar-benar mampu membangunkan modal insan berkualiti dalam mendepani cabaran yang mendatang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masjid hendaklah dijadikan sebagai pusat dalam penyebaran ilmu bukan hanya berbentuk ceramah atau kuliah semata-mata tetapi dalam versi yang pelbagai seperti kelas tambahan akademik, pusat asuhan kanak-kanak, perpustakaan dan sebagainya.

“Masjid juga perlu mesra masyarakat termasuk kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dengan mengadakan program kemasyarakatan se­per­ti gotong-royong, majlis akad nikah, korban dan aqiqah yang berpusat di masjid,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Pengkalan Pandan dekat Kemaman, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali dan Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda.

Masjid Pengkalan Pandan yang dibangunkan pada 2007 dengan kos RM3.5 juta itu mula digunakan pada 20 Mei 2009 dan mampu menampung 1,500 jemaah.

Masjid tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya bilik jenazah, dewan serbaguna dan ruang letak kenderaan yang luas.

Sultan Mizan bertitah, jawatankuasa masjid perlu mewujudkan dan mengukuhkan sumber kewangan di institusi masing-masing bagi memastikan kelancaran perbelanjaan pengurusan, membiayai program yang dirancang, mengaturkan bantuan kewangan dan sara hidup kepada yang memerlukan di samping membantu gerakan dan usaha membangunkan Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini