Perkam iktiraf keberanian Nur Ain Fitri - Utusan Malaysia

Perkam iktiraf keberanian Nur Ain Fitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 17 Okt. – Pertubuhan Kebajikan Sosial Anak Meranti (Perkam) memberi pengiktirafan kepada Nur Ain Fitri Abdul Rahman, 16, di atas keberanian menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kebakaran kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Pasir Mas pada 8 Oktober lalu.

Surat penghargaan itu diserahkan oleh Presiden Perkam, Mohd. Romizu Mohd. Ali kepada Nur Ain Fitri dalam satu majlis ringkas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibarhim 2, di sini hari ini.

Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Pengetua SMK Ibrahim 2, Sabri Abdullah.

Mohd. Romizu berkata, dia berharap keberanian Nur Ain Fitri itu menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain.

Katanya, apa yang ditonjolkan oleh Nur Ain Fitri itu merupakan satu sifat terpuji dengan meletakkan kepenting keluarga di hadapan.

“Saya harap surat penghargaan ini dapat menjadi pembakar semangat kepada Nur Ain Fitri untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membantu orang ramai pula selepas ini,” katanya.

Akhbar Utusan Malaysia pada 10 Oktober lalu melaporkan ketenangan seorang gadis yang bertindak mengejutkan semua ahli keluarga berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung selepas kuarters KTMB Pasir Mas terbakar.

Dalam kejadian pukul 9.55 malam itu, Nur Ain Fitri yang baharu sahaja hendak melelapkan mata dikejutkan dengan bau hangit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN