KUALA TERENGGANU 13 Okt. – Kerajaan negeri akan memperhalusi cadangan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu agar diwjudkan pusat khusus bagi menempatkan pesalah syariah.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya memandang serius cadangan yang dikemukakan itu dan akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal perundangan.
“Kita akan berbincang soal ini, dari segi pro dan kontra, di samping adakah ia dalam ruang lingkup kuasa di peringkat negeri ataupun peruntukan tertentu di Pusat.
“Ini semua akan kita lihat secara menyeluruh, sebenarnya kita tidak mengejar waktu. Perkara ini boleh terus diperbincangkan dan diwujudkan apabila tiba masa yang sesuai,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Terengganu 2018 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.
Baru-baru ini, Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail menyatakan sudah tiba masanya pusat khusus untuk menempatkan pesalah syariah diwujudkan bagi membolehkan golongan berkenaan menjalani hukuman secara berasingan daripada pesalah sivil di penjara.
Cadangan itu dikemukakan beliau ketika membacakan penghakiman terhadap seorang wanita berusia 45 tahun yang dituduh melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.
Menurut Kamalruazmi, langkah tersebut bertujuan memberi pemulihan akidah dan akhlak di samping kebaikan kepada pesalah syariah berbanding jika ditempatkan di penjara yang merangkumi pesalah jenayah berat seperti rogol atau samun.-UTUSAN ONLINE










