Perginya insan hebat guru tajwid negara - Utusan Malaysia

Perginya insan hebat guru tajwid negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA yang tidak kenal dengan Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari, seorang insan yang sangat hebat dalam ilmu tajwid dan bacaan al-Quran pada suatu ketika dahulu.

Bukan setahun dua wajah Almarhum terpancar di kaca televisyen untuk mengajar orang ramai mengenal ilmu tajwid menerusi penerangan mudah tetapi tegas.

Wajah insan hebat yang dilahirkan di Kampung Syu’ib Amir, Mekah pada 18 Ogos 1928 telah terpampang di kaca televisyen negara ini selama hampir 40 tahun.

Almarhum telah diberi tugas mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hingga 2000, selain turut mengacarakan rancangan agama selama lapan tahun di TV1 yang bertajuk Muqaddam pada 1970-an.

Bayangkan, 40 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Berapa generasi mendapat manfaat daripada tugasan beliau mengajar ilmu yang bermanfaat kepada umat Islam di negara ini.

Atas jasa dan sumbangan besar itu, Allahyarham telah menerima Anugerah Khas Seri Angkasa pada 1997 berikutan penglibatannya selama 40 tahun bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selain itu, Almarhum juga merupakan hakim Pertandingan Tilawah al-Quran paling lama berkhidmat untuk pertandingan tersebut yang melibatkan penyertaan negara-negara Islam seluruh dunia.

Pasti ada yang bertanya, berapa lama Allahyarham telah berkhidmat untuk pertandingan antarabangsa itu? Terlalu lama iaitu hampir 46 tahun.

Bukan sekadar mengajar orang ramai, Allahyarham juga pernah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Tilawah al-Quran yang diadakan di Malaya pada 1947.

Apa yang lebih menarik, keupayaan Allahyarham dalam ilmu tajwid dan bacaan al-Quran mendapat pengiktirafan masyarakat Islam pada peringkat antarabangsa.

Almarhum telah dipanggil untuk menjadi hakim bagi pertandingan tilawah di negara Islam lain seperti di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai, Singapura, Brunei serta Thailand.

Atas sumbangan besar beliau dalam bidang keagamaan, Allahyarham dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 2002, satu penghormatan tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan Islam dalam negara.

Mungkin ramai yang tidak sedar, beliau merupakan tokoh dan watak penting semasa pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Pada hari bersejarah tersebut, Allahyarham diberikan tugas untuk melaungkan azan sebagai lambang kebesaran Islam pada hari yang penuh keberkatan tersebut, setelah Tunku Abdul Rahman melaungkan kata-kata keramat kemerdekaan bagi Tanah Melayu.

Betapa besar sumbangan Almarhum kepada pengembangan Islam di negara bertuah Malaysia, selain mendidik anak bangsa mengenal ilmu yang paling berharga iaitu ilmu al-Quran.

“Damailah kamu di sana wahai insan hebat dan menjadi kebanggaan seluruh umat Islam. Tiada yang mampu menyaingi kehebatan dan sumbangan besarmu selama ini.

“Semoga Allah SWT membalas jasa baik dan pengorbananmu mendidik anak bangsa. Pasti ramai yang akan terus mengingati kenangan indah ditinggalkan olehmu.

“Semoga amal ditaburkan selama ini akan menjadi sedekah jariah berkekalan dan menjadi asbab dirimu diletakkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin!!”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN