LABUAN – Dua penunggang motosikal tercampak kira-kira lapan meter selepas motosikal jenis Modenas yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero berdekatan simpang empat Hotel Mariner di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, penunggang motosikal berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia manakala pembonceng berusia 23 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, bagaimanapun pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke kediamannya di Tanjung Aru melalui Jalan OKK Abdullah. Sebaik tiba di lokasi kenderaan itu bertembung dengan motosikal terbabit.
“Kesan kemalangan berkenaan kedua-dua mangsa tercampak kira-kira lapan meter. Penunggang disahkan maut manakala pembonceng cedera,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut Muhamad Farid, punca kematian belum dikenal pasti dan pembonceng dikejarkan ke Hospital Neukleus dekat sini untuk rawatan lanjut.
Katanya, lelaki tempatan itu bertugas di sebuah restoran makanan segera di pusat bandar di sini.
Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











