Peniaga didakwa rogol gadis bawah umur - Utusan Malaysia

Peniaga didakwa rogol gadis bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASAH 18 Okt. – Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur di Port Dickson, bulan lalu.

Zulhilmi Zulkifli, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah rumah di Port Dickson kira-kira pukul 2 pagi, 8 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Harun mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Zulhilmi yang juga seorang duda anak satu dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana perlu menjaga bapa yang baru pencen dan ibu yang baru menjalani pembedahan mata.

Mahkamah kemudian menawarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain dia perlu melaporkan diri di Balai Polis Port Dickson setiap 15 haribulan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh yang berniaga makanan ringan supaya tidak menghubungi atau berkomunikasi dengan mangsa serta menetapkan sebutan semula kes pada 30 Januari 2019.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam gagal menjelaskan wang jaminan dan dihantar ke Penjara Sungai Udang di Melaka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN