KUALA LUMPUR 4 Okt. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 1,371 notis amaran kepada peniaga di sekitar ibu kota atas kesalahan tidak menggunakan produk biodegradasi sejak Januari 2018 sehingga 2 Oktober lalu.
Menteri Wilayah, Khalid Abd. Samad berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 243 telah dikenakan tindakan kompaun sehingga RM 1,000 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“DBKL mengambil tindakan itu bukan bertujuan ingin mengutip saman semata-mata, sebaliknya memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap pentingnya penggunaan bekas makanan dan minuman yang selamat serta mesra alam.
“Penggunaan produk mesra alam ini bukan perkara baharu, malah satu dunia telah melaksanakan peraturan-peraturan yang ketat ke atas mereka yang gagal berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan penggunaan produk biodegradasi di Bangsar Village 1 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff. – UTUSAN ONLINE











