GUA MUSANG 5 Okt. – Sebilangan kecil daripada 6,697 ahli PKR di cabang ini memboikot pemilihan pucuk pimpinan parti itu hari ini.
Kumpulan itu dikatakan tidak berpuas hati dengan peraturan pengundian yang terlalu ketat sehingga tidak membenarkan mereka masuk ke Dewan Semai Bakti Chiku 5 di sini biarpun telah menunggu sejak awal pagi.
Kawalan ketat itu dikatakan berhubung kait dengan saingan sengit tiga calon ketua cabang iaitu di antara penyandangnya, Zulqarnain Zakaria; Ketua Wanita PKR negeri, Noraini Hussin, Zulqarnain Zakaria dan bekas ketua cabang tersebut, Mohd. Zuki Ibrahim.
Seorang pengundi yang mahu dikenali sebagai Mohamad mendakwa hanya ahli tertentu dibenar masuk mengundi seolah-olah benda ini dirancang.
Katanya, mereka yang memboikot pengundian itu bertindak mengoyak kertas kod bar dan terus pulang ke rumah.
“Pemilihan kali ini rumit kerana kita sudah menunggu bermula 9 pagi lagi untuk mengundi dan sehingga pukul 11 pagi belum dibenarkan masuk.
“Kami rasa ada perancangan pihak tertentu membuat halangan ini supaya memberi kemenangan kepada calon pilihan mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










