KOTA BHARU – Seorang anggota polis trafik patah pergelangan tangan kanan apabila terlibat dalam kemalangan semasa mengiringi kenderaan ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di lampu isyarat Pasir Hor di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam, mangsa, Lans Koperal, Mohd. Fauzee Ibrahim, 32, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi milik Polis Diraja Malaysia sedang mengiringi Sultan Ismail Yahya Petra.
Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 62 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mangsa dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dalam tugasan mengiringi kenderaan baginda dari Istana Mahkota, Kubang Kerian menuju ke satu majlis di Hotel Perdana di sini.
“Semasa tiba di persimpangan lampu isyarat Pasir Hor, seorang lagi anggota pengiring menahan aliran trafik bagi memberi laluan kepada kenderaan istana.
“Namun kereta Toyota Vios dari arah Lundang yang dipandu warga emas terbabit membelok ke arah Pasir Hor menyebabkan mangsa dari arah Kubang Kerian gagal mengelak lalu melanggar pintu bahagian penumpang hadapan kereta itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











