KUALA LUMPUR 17 Okt. – Penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan orang ramai di Malaysia disifatkan positif melihat kepada rekod kadar penggunaan alat pengecas di stesen ChargEV.
Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) telah memasang lebih 234 ChargEV di seluruh Semenanjung meliputi tempat letak kereta pusat beli-belah dan bangunan pejabat.
Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Dr. Mohd. Azman Zainul Abidin berkata, pemasangan alat pengecas EV itu melibatkan jumlah pelaburan kira-kira RM5 juta.
Katanya, berbeza dengan tempoh beberapa tahun lalu, GreenTech Malaysia berdepan kesukaran untuk mempromosikan EV berikutan masalah kekurangan kenderaan itu berserta alat pengecas.
“Dulu, sewaktu kami mahu menggalakkan penggunaan EV, orang ramai bertanyakan bagaimana dengan mesin pengecasan dan turut mempersoalkan kos EV yang agak tinggi.
“Kami mengambil keputusan untuk menyediakan infrastruktur dengan memasang ChargEV secara agresif dan ternyata usaha ini mendapat sambutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) 2018.
Terdahulu, GreenTech Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan FM Electric Vehicle Sdn. Bhd. bagi membangunkan motosikal elektrik dan sistem pertukaran bateri yang dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.
FM Electric Vehicle akan membangunkan sistem pertukaran bateri praktikal untuk motosikal elektrik bagi mengurangkan harga pemilikan dengan mengasingkan kos bateri daripada kos pengeluaran keseluruhan motosikal.
GreenTech Malaysia dipertanggungjawabkan untuk menjadi pemangkin penggunaan teknologi hijau sebagai enjin strategik bagi pertumbuhan sosioekonomi di Malaysia.
Matlamat GreenTech Malaysia adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global untuk teknologi hijau menjelang 2020 dan seterusnya membangunkan negara menjadi masyarakat hijau menjelang 2030.










